ads 728x90 B

Thursday, November 27, 2014

Syamail Muhammadiyah: Peribadi Agung Junjungan Mulia Nabi Kita

Metodologi Terjemahan

Buku Syamail Muhammadiyah ini adalah antara karya agung ulama silam yang berjaya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Tim Penterjemah Kemilau Publika.



Buku ini sering menjadi rujukan oleh pelbagai pihak bagi mendorong mereka untuk mengenali peribadi agung Nabi Muhammad . Justeru itu di bahagian penyuntingan, kami memastikan kitab yang diterjemah yang bersumberkan kitab asal menepati kriteria terjemahan terbaik.





Untuk memenuhi kriteria tersebut, kami telah meletakkan metodologi terjemahan berikut:

1) Mengekalkan rangkaian sanad.

Rangkaian sanad sangat penting dalam pengajian Sima` al-Ahadis. Justeru itu, kami mengekalkannya supaya Tuan-tuan Guru mampu menggunakan fungsi buku ini sepenuhnya sepertimana buku asal dalam bahasa Arab.

2) Meletakkan matan hadis bersama-sama terjemahan.


Kaedah ini digunakan bagi memudahkan penilaian terjemahan daripada Tuan-tuan Guru yang mengajar serta hafalan para pelajar.

3) Menjadikan terjemahan bertepatan dengan pemahaman kitab syarah.

Perkara ini penting bagi memastikan pemahaman teks tidak lari daripada maksudnya apabila menggunakan istilah-istilah bahasa. Rujukan yang digunakan ialah kitab, Al-Mawahib Al-Ladunniyyah ‘Ala Syamail Al-Muhammadiyah hasil karya Imam Al-Bajury (dilahirkan pada tahun 1198 H dan meninggal dunia pada 1277 H), bermazhab asy-Syafi‘i yang dicetak oleh Maktabah Darul Minhaj, Jeddah, Arab Saudi.



Ulasan ulama hadis moden, Dr. Muhammad `Awwamah (ulama hadis moden yang mengarang kitab-kitab agama berkaitan hadis) terhadap syarah Imam Al-Bajury juga menjadi salah satu tunjang kuat dalam memastikan kualiti terjemahan. Sistem susunan bab dan nombor yang diletakkan pada hadis juga mengikut susunan yang terdapat di dalam kitab tersebut.

4) Memastikan setiap hadis mempunyai takhrij ringkas.

Takhrij ialah mengeluarkan sumber hadis daripada riwayat imam-imam yang lain. Tetapi takhrij yang diberikan bersifat ringkas. Maka ia tidak panjang berjela-jela supaya pembaca mudah faham dan boleh dijadikan rujukan.


5) Nombor Hadis.

Sistem penomboran kitab-kitab hadis ini adalah mengikut rujukan cetakan sepertimana yang dilampirkan pada muka surat terakhir.


6) Ulasan bab.


Pada setiap bab diletakkan ulasan ringkas bagi memudahkan pembaca memahami metodolgi Imam at-Tirmizi dalam menyusun setiap bab.



7) Meletakkan kualiti hadis.

Antara tambahan penting yang kami berikan kepada buku ini adalah dengan menilai kualiti setiap hadis kepada kategori Sahih, Hasan, Daif, Sangat Daif dan Maudu‘ (Palsu). Tiada hadis Maudu‘ yang dijumpai di dalam buku ini.

Maksud Istilah:

Sahih:

Suatu hadis yang diambil daripada perawi yang benar-benar adil, kuat hafalan, rangkaian sanadnya bersambung, tiada kecacatan (al-`Ilal) pada perawi, dan tiada sifat ragu-ragu (syaz). Inilah syarat hadis-hadis yang disusun di dalam buku Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Hasan:

Suatu hadis yang mempunyai syarat yang sama dengan hadis sahih tetapi perawinya lemah sedikit dalam ingatan.

Daif:

Ialah hadis lemah yang tidak memenuhi ciri-ciri hadis Sahih dan Hasan.

Terlalu Daif:

Iaitu hadis yang mempunyai ciri-ciri hadis Daif tetapi ia menghampiri kepada kepalsuan. Hadis seperti ini tidak boleh diamalkan atau dijadikan hujah.

Maudu‘ (Palsu):

Hadis ini menyandarkan suatu kenyataan kepada Nabi Muhammad sedangkan ia adalah satu pembohongan dan pendustaan.


Dalam meletakkan nilai status hadis ini, kami menjadikan perkara berikut sebagai panduan:

Jika hadis itu terdapat di dalam susunan al-Bukhari dan 1. Muslim di dalam kitab Sahih mereka, maka ia adalah sahih.

Menjadikan ulasan kualiti daripada Syeikh Syu`aib al-Arnauth, Syeikh Muhammad Fuad Abdul Baqi, Syeikh Musthofa Dib al-Bugha, Imam at-Tirmizi sendiri dan Syeikh Al-Albani dalam kitab-kitab ulasan hadis mereka sebagai panduan.

Secara keseluruhannya, kami mendoakan semoga penerbitan buku ini berjaya menyebarkan kecintaan umat Islam kepada peribadi agung Nabi Muhammad .

TIM PENTERJEMAH KEMILAU PUBLIKA

No comments:

Post a Comment