ads 728x90 B

Sunday, November 16, 2014

Hadis Soal Jawab Antara Rasulullah dan Iblis adalah PALSU

Hadis soal jawab antara Rasulullah dan Iblis ini adalah PALSU, tiada terdapat dalam mana-mana rekod kitab hadis Nabi SAW.  Tidak boleh menyebarkannya melainkan untuk memberitahu kepalsuannya. 

Hadis yang dimaksudkan ialah:

Muadz ibnu Jabal meriwayatkan, 

“Suatu hari, tatkala kami sedang bersama, Rasulullah saw duduk bersila di kediaman salah seorang sahabat Anshar, tiba-tiba terdengar suara panggilan dari luar rumah. “Wahai penghuni rumah, bolehkah aku masuk?. Kalian pasti akan memerlukanku.” Rasulullah saw berkata kepada kami, “Tahukah kalian siapa yang memanggil?” Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Rasul saw berkata, “Itu suara iblis, makhluk yang dikutuk Allah.” Ketika pintu rumah dibuka, kami melihat lelaki tua yang cacat satu matanya, di janggutnya terdapat tujuh helai rambut seperti rambut kuda, taringnya terlihat seperti taring babi, bibirnya seperti bibir sapi.

Iblis memberi salam, “Keselamatan dan kesejahteraan untuk Muhammad dan sahabat-sahabatmu.” Rasulullah saw menjawab, “Keselamatan dan kesejahteraan hanya milik Allah Azzawajalla dan berasal dariNya. Wahai makhluk terlaknat, apa yang kamu mahu?” Iblis menjawab, “Wahai Muhammad, aku datang ke tempat ini, bukan atas kemahuanku, tetapi, kerana terpaksa.” Rasulullah saw bertanya, “Siapa yang memaksamu?” Iblis menjawab, “Malaikat Allah datang kepadaku sambil berkata, “Allah memerintahkanmu supaya datang kepada Muhammad dengan penuh hormat. Dan beritahu Muhammad tentang caramu dalam menggoda manusia dan jawablah dengan jujur semua pertanyaannya. Demi kebesaran Allah, andai kau berdusta satu kali saja, maka Allah akan jadikan dirimu debu yang ditiup angin.” Kini aku berada di hadapanmu. Tanyalah apa yang ingin kau tanyakan. Jika aku berdusta, aku akan dicaci oleh setiap musuhku. Dan tiada sesuatu yang paling menyedihkanku selain daripada cacian musuh.”


Rasulullah saw berkata, “Wahai makhluk yang dikutuk Allah. Siapakah manusia yang paling kau benci?” Iblis menjawab, “Manusia yang paling aku benci adalah dirimu dan manusia-manusia sepertimu (para nabi dan rasul). Kemudian pemuda yang utuh bertakwa yang mendedikasikan hidup dan kehidupannya untuk mengabdi kepada Allah. Kemudian manusia yang sentiasa menjaga kesucian dirinya. Kemudian manusia miskin (fakir) yang sabar dan tabah, serta tidak pernah mengeluhkan kesulitan dan kesusahan hidupnnya kepada manusia lain. Kemudian manusia kaya yang bersyukur.”


Rasulullah saw berkata, “Wahai makhluk yang dilaknat Allah. Apa yang membuatmu rasa sakit apabila melihat amalan-amalan umatku.?” Iblis menjawab, “Aku merasakan panas dingin dan gementar apabila umatmu mengerjakan solat. Tubuhku akan terikat jika umatmu berpuasa. Aku seperti merasa gila jika umatmu malakukan haji. Tubuhku meleleh seperti timah diatas tungku api, jika umatmu membaca al-Quran . Tubuhku terasa terbelah oleh gergaji, jika umatmu bersedekah. Pinggangku akan patah jika mendengar suara kuda perang Fi Sabilillah.


 Tubuhku akan hancur lebur, jika umatmu bertaubat. Hatiku terbakar, jika umatmu beristighfar pada waktu siang dan malam. Wajahku bakal terconteng jika umatmu bersedekah secara diam-diam. Mataku tertusuk jika umatmu mendirikan solat subuh. Kepalaku terpukul keras jika umatmu mendirikan solat berjama’ah. Aku gundah gulana dan merasa terganggu, jika para alim (ulama) berkumpul dalam satu majlis.”


Rasulullah saw berkata, “Wahai makhluk yang dikutuk Allah. Bagaimana kamu menjalani kehidupanmu?” Iblis menjawab, “Aku makan dengan tangan kiri dan jariku. Aku menaungi anak-anakku di musim panas di bawah kuku manusia. Aku berteman dengan orang yang makan riba. Aku bersahabat dengan penzina. Kawan tidurku adalah pemabuk. Tamuku adalah pencuri. Utusanku adalah tukang sihir. Aku suka melontarkan kalimat cerai. Kekasihku adalah umatmu yang meninggalkan solat Jum’at. Aku sangat bahagia jika melihat umatmu meninggalkan solat dengan sengaja.”


    Rasulullah saw berkata kepada iblis, “Segala puji bagi Allah yang telah membahagiakan umatku dan menyengsarakanmu.” Iblis berkata, “Umatmu tidak akan bahagia, sebab aku dan para sekutuku akan hidup sepanjang lorong waktu kehidupan manusia hingga akhir zaman. Bagaimana mungkin umatmu dapat hidup bahagia, sedangkan aku sangat mudah masuk ke dalam aliran darah mereka dan mereka tidak dapat melihatku. Demi yang menciptakan diriku dan memberiku kesempatan hingga hari kiamat, aku akan menyesatkan semua umatmu. Baik yang bodoh, atau yang pintar, yang dapat membaca mahupun yang tidak dapat membaca, yang durjana mahupun yang soleh, kecuali umatmu yang ikhlas.”


Rasulullah saw berkata, “Wahai makhluk yang dilaknat Allah. Menurutmu siapakah umatku yang layak disebut manusia ikhlas?” Jibril menjawab, “Bukankah kau telah mengetahui wahai Muhammad, bahawa umatmu yang suka kepada emas dan perak, bukanlah manusia yang ikhlas. Jika kau lihat di kalangan umatmu yang tidak suka kepada wang, tidak suka pujian dan sanjungan, mereka adalah manusia yang ikhlas. Aku akan meninggalkannya, kerana manusia yang ikhlas hatinya hanya fokus kepada Allah. Sebaliknya, manusia yang masih suka kepada harta dan sanjungan, suka kepada kesenangan dunia akan selalu patuh padaku dan aku sangat mudah menyesatkannya.”


Rasulullah saw berkata, “Wahai makhluk yang dikutuk Allah. Siapa yang menjadi pembantu dan sekutumu dalam mengganggu umatku?” Iblis menjawab, “Aku memiliki 70.000 anak, dan setiap anak memiliki 70.000 syaitan. Mereka aku tugaskan untuk mengganggu ulama, menggangu anak-anak muda, menganggu orang-orang tua, menggangu manusia-manusia zuhud dan wira. Aku menyuruh pasukanku kencing di telinga manusia, supaya mereka tidur dan meninggalkan solat berjemaah. Pasukanku juga akan kencing ke telinga umatmu supaya mereka merasa mengantuk dan apabila hendak mengerjakan solat berjemaah.
Aku mengutus pasukanku supaya mengaburkan mata umatmu yang sedang mendengarkan ceramah agama agar mereka tertidur dan kembali ke rumah tanpa pahala. Aku mengutus pasukanku untuk duduk di mulut umatmu supaya mereka ria dan menyebut kebaikan yang mereka perbuat sehingga terhapus pahala mereka. Aku menempatkan pasukan di punggung dan paha wanita, serta menghiasinya supaya setiap lelaki yang memandang terpesona. Aku hiasi kuku pasukanku agar dapat menyusup dan bergerak ke tempat-tempat lain, dari satu pintu ke pintu yang lainnya untuk merosak amalan-amalan umatmu sehingga rasa ikhlas tercabut dari dada mereka.”


Rasulullah saw berkata, “Wahai makhluk yang dilaknat Allah. Apa senjata yang kamu guna untuk menggoda umatku?” Iblis menjawab, “Dusta adalah senjata utamaku untuk merosak umatmu. Akulah makhluk pertama yang berdusta. Pendusta adalah sahabatku. Manusia yang bersumpah dengan berdusta, mereka adalah kekasihku. Bukankah kau telah mengetahui wahai Muhammad bahawa aku bersumpah kepada Adam dan Hawa dengan nama Allah, aku menasihatinya padahal sebenarnya aku berdusta.


Sumpah dusta adalah kegemaranku, adu domba adalah kesenanganku, janji palsu kegembiraanku. Manusia yang bersumpah untuk menceraikan isterinya walaupun bergurau, sebenarnya dia telah berada di tepi jurang dosa. Manusia yang membiasakan dirinya dengan kata-kata cerai, isterinya menjadi haram baginya. Kemudian dia akan beranak pinak hingga hari kiamat, maka semua anak-anak yang lahir darinya adalah anak hasil zina dan dia masuk neraka hanya kerana satu kalimat cerai.


Rasulullah saw berkata, “Wahai makhluk yang dikutuk Allah. Bagaimana kamu mengganggu umatku yang hendak solat?”. Jibril menjawab, “Umatmu ada yang suka melambat-lambatkan solat, setiap kali dia berdiri untuk solat, aku bisikan padanya waktu masih lama, kamu masih sibuk, lalu dia manundanya. Akhirnya dia melakukan solat di luar waktu, maka solat itu akan dipukulkan ke mukanya. Jika dia berjaya mengalahkanku, aku biarkan dia solat. Namun aku bisikkan ke telinganya, “Lihat kiri dan kananmu.” Diapun menoleh dan pada masa itu aku usap dengan tanganku dan aku cium keningnya serta aku katakan “solatmu tidak sah.”


Jika dia solat sendirian, aku suruh dia cepat-cepat, dia pun solat seperti ayam yang mematuk beras. Jika dia solat berjemaah, aku ikat lehernya dengan tali, hingga dia mengangkat kepalanya sebelum imam, atau meletakkannya sebelum imam. Atau aku tiup hidungnya hingga dia menguap dalam solat. Aku juga memerintahkan manusia miskin supaya meninggalkan solat. Aku katakan padaknya, “Kamu tidak wajib solat, yang wajib hanya manusia yang senang dan sihat. Orang sakit dan miskin tidak perlu solat, jika kehidupanmu telah berubah baru kau solat.” Dia pun mati dalam kekafiran, maka Allah akan menemuinya dalam kemurkaan.


Rasulullah saw berkata, “Wahai makhluk yang dilaknat Allah. Apakah kau pernah meminta sesuatu kepada Allah?” Iblis menjawab, “Aku mengajukan sepuluh permintaan kepada Allah.



  1. Aku minta agar Allah membiarkanku berkongai harta dan anak manusia. Dan Allah mengizinkan. Allah berfirman, “Berkongsilah dengan manusia dalam harta dan anak dan janjikanlah mereka, tidaklah janji syaitan kecuali tipuan.” (al-Isra’ : 64)Aku makan harta yang tidak dizakatkan. Aku juga makan makanan haram dan yang bercampur dengan riba, aku juga makan dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah.
  2. Aku minta agar Allah membiarkanku ikut bersama dengan manusia yang berhubungan dengan isterinya tanpa menyebut nama Allah. Syaitan pasukan utamaku ikut bersamanya dan anak yang dilahirkan akan sangat patuh kepada syaitan
  3. Aku minta agar dapat ikut bersama dengan manusia yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan yang halal.
  4. Aku minta agar Allah menjadikan bilik mandi sebagai rumahku.
  5. Aku minta agar Allah menjadikan pasar sebagai masjidku.
  6. Aku minta agar Allah menjadikan syair sebagai Quranku.
  7. Aku minta agar Allah menjadikan pemabuk sebagai teman tidurku.
  8. Aku minta agar Allah memberikanku saudara, maka Ia jadikan manusia yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku. Allah berfirman, “Orang-orang boros adalah saudara-saudara syaitan.” (al-Isra’ : 27)
  9. Aku minta agar Allah membuatku dapat melihat manusia sementara mereka tidak dapat melihatku.
  10. Aku minta agar Allah memberiku kemampuan untuk mengalir dalam aliran darah manusia. Allah berfirman, “Silakan.” Aku bangga dengan keupayaan itu hingga hari kiamat dan sebahagian besar umat manusia bersamaku di hari kiamat.”
Selesai bersoal jawab dengan Iblis tersebut, Rasulullah saw membacakan ayat al-Quran , “Sesungguhnya ketentuan Allah pasti berlaku.” (al-Ahzab : 38)

 Setelah mendengar firman Allah tersebut, Jibril berkata, 
“Wahai Muhammad utusan Allah. Takdir telah ditentukan dan pena takdir telah kering. Maha Suci Allah yang menjadikan dirimu pemimpin para nabi dan rasul, pemimpin penduduk syurga, dan yang telah menjadikan aku pemimpin mahluk-makhluk celaka serta pemimpin penduduk neraka. Aku si celaka yang terusir. Inilah akhir yang ingin aku sampaikan kepadamu. dan aku tak berbohong dengan semua yang telah aku sampaikan kepadamu.” 

Rujukan Ulama: http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&lang=A&Id=41989

No comments:

Post a Comment