ads 728x90 B

Thursday, July 10, 2014

Tazkirah Ramadhan KPSB - Oleh Bos

Tazkirah Ramadhan KPSB
13 Ramadhan 1435H

Oleh : En. Masri Abu Soed (Pengarah Urusan)

■》Muqaddimah:

Orang yang beriman jika boleh mereka mahu sepanjang tahun adalah Ramadhan. Tetapi orang 'asi (suka membuat mungkar) sangat tidak suka dengan Ramadhan, sehingga jika boleh mereka mahu 'delete' dari kalander.

Ramadhan ini ada fenomena umat yang berlaku sepanjang waktunya. Minggu Pada tempoh pertama Ramadhan, masjid-masjid dipenuhi jemaah, sehingga jawatankuasa masjid terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah tempat solat tidak cukup.

Tetapi malangnya, minggu kedua dah lengang.

Justeru itu kita perlu jadi agen, jadi asbab hidayah (penyebab orang dapat hidayah). Dalam masa yang sama kita sendiri perlu betulkan diri. Kita mulakan dengan diri kita, kemudian sampaikan.

Kita dan ustaz seperti suasana hospital.

Masyarakat ialah pemandu ambulans dan ustaz adalah doktor. Kita jumpa pesakit, lalu kita bawa kepada Ustaz. Maka kita telah menjadi asbab hidayah.

Istilah lain, kita hanya pemancing. Kita pancing ikan, kemudian berikan kepada isteri untuk dimasak. Kita adalah asbab hidayah.

■》Hadis :

Dari Abu Hurairah, dia berkata, “Rasulullah saw. bersabda, ‘Pada bulan Ramadhan umatku diberi lima keutamaan yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya; (1) bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari pada minyak kesturi, (2) para malaikat meminta keampunan untuk mereka hingga berbuka, (3) pada setiap harinya Allah menghiasi syurga mereka, kemudian Allah berfirman, 'hampir saja para hamba-Ku yang shalih dihindarkan dari kepayahan dan gangguan dan berjalan kepadamu (surga).' (4) dan di dalam bulan Ramadhan para syaitan dibelenggu hingga mereka tidak bebas menggoda orang yang berpuasa sebagaimana mereka bebas mengganggu selainnya, (5) dan akan diampuni dosa-dosa mereka (orang yang berpuasa) di akhir malam bulan Ramadhan.’ Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah apakah itu pada lailatul qadar?’ Rasulullah saw. bersabda, "Tidak, akan tetapi seorang yang beramal akan ditepati pahalanya jika telah selesai melaksanakan amalannya."

HR. Ahmad, Musnad Ahmad, 790

(Syeikh Syuaib dan al Albani berkata Hadis ini dhoif bahkan terlalu dhoif. Tetapi kandungannya sebahagiannya dikuatkan dengan hadis sahih dan sebahagian lagi tidak.)


1- Bau mulut.

Hadis ini mempunyai konteksnya. Ia bukan galakkan untuk tidak membersihkan mulut dari bau. Apatah lagi apabila kita bersama di pejabat dengan orang bukan Islam. Ia akan membawa kefahaman yang salah.

Justeru itu hendaklah kita sentiasa membersihkan mulut dengan berus gigi atau bersugi.

(Syariah: Hadis berkaitan perkara ini sahih. Sahih Muslim: 807)

2) berdoa

Mintalah doa khususnya sebelum berbuka. Apabila doa belum dimustajabkan, maka bersabarlah. Seumpama budak kecil yang meminta pisau, kita tak beri kerana kita sayangkan dia. Apabila doa belum mustajab, mungkin ada sesuatu yang tidak kena sehingga Allah menahannya.

(Syariah: Hadis berkaitan perkara ini sahih. Ibnu Majah 1752)

3) Syurga dihias

(Syariah: Hadis berkaitan perkara ini tidak sahih bahkan banyak hadis palsu berkaitannya.)

4) Syaitan dirantai

Sebahagian ulama sebut bahawa syaitan besar sahaja dirantai, sebahagian lain sebutkan syaitan telah berpesan pada nafsu.

(Syariah : Hadis berkaitan perkara ini sahih. Al-Hakim, 1582)

5) diampunkan malam akhir ramadhan -bukan lailatul qadr

(Syariah : Tiada hadis sahih yang menyebutkan kelebihan ini.)

■》Kesimpulan : Setiap orang akan dapat menemui lailatul qadr. Yang penting kita beribadah pada setiap malam. Ibadah setiap orang akan mendapat balasan yang berbeza-beza di sisi Allah. Ini kerana kuliti ibadah mereka saling berbeza.

Demikian juga pahala puasa setiap orang berbeza. Apabila mujahadah berbeza, maka berbeza juga nilaiannya di sisi Allah.

Dalam pada masa kita sibuk dengan perkara sunat, jangan pula kita lalai dengan amalan asas seperti solat fardhu 5 waktu dan sebagainya.

■》Penutup: Semoga dengan mengetahui kelebihan ini, ia akan menambahkan amalan kita. Jangan puasa menyebabkan kita letih sahaja dan tidak larat membuat kerja. Apa yang lebih penting ialah puasa ini biar menjadi penyebab kita dekat dengan Allah.

WallahuAlam


Wednesday, July 2, 2014

Apabila Hujah Penulis Rapuh...

Tidak bersetuju dengan pendapat penulis tidak menjadi penyebab editor membuang pendapat itu, selagimana pendapat itu masih lagi mampu diterima pakai dari sudut ilmiah, sekalipun ia lemah.

Nota : Hari ini berhadapan dengan penulis yang mahu menegakkan pendapatnya bahawa negara Malaysia bukan negara Islam dengan mengkritik pendapat Imam Abu Hanifah. Hujah-hujahnya sangat rapuh apabila dia membawakan dalil-dalil al-Quran.

Monday, June 30, 2014

24 Jam Amalan Puasa Rasulullah

Alhamdulillah, selesai memberi komentar berkaitan buku 24 Jam Amalan Puasa Rasulullah dalam rancangan Assalamualaikum di TV al-Hijrah sebentar tadi.

Menariknya, pengacara Fazli Aziz bertanya, "Apa pendapat ustaz berkaitan perkembangan hadis-hadis di Malaysia?"

Saya jelaskan, "Alhamdulillah, suatu perkembangan yang sangat baik di Malaysia apabila dahulunya orang kita akan terima apa sahaja yang disampaikan kepada mereka.

Tetapi sekarang ini, mereka mula bertanya tentang status hadis-hadis Nabi saw. Kita semakin sedar peringatan Nabi saw dalam hadis yang sahih, "Sesiapa yang berbohong atas namaku dengan sengaja, maka bersiap sedialah kerana tempat duduknya adalah dari api neraka."

Alhamdulillah, selesai.



Buku ini diterbitkan oleh KEMILAU PUBLIKA 

Saturday, June 7, 2014

100 Sunnah Rasulullah Yang Dilupakan

Buku terjemahan "100 Sunnah" merupakan buku yang saya sangat suka. Apabila membaca dan menyebarkan intipatinya, saya membayangkan ia sebagai sebuah buku yang sangat tepat dalam mempertahankan sunnah.



Buku ini merupakan hasil penulisan 2 orang wanita. Disusun oleh Ustazah Haifa Abdullah ar-Rasyid, dan dibimbing oleh Bintu Abdullah al-Julham.

Metode

Buku ini mengoleksi hadis-hadis yang terbukti benar dari Rasulullah saw. Ia diambil dari rekod ulama hadis ulung dalam rantaian ilmu hadis seperti Imam al-Bukhari dan Muslim. Apabila ada hadis sahih dari jalan yang jauh, maka penulis akan berikan sebab mengapa ia sahih.

Fokus

1.    Buku ini dihasilkan bagi memberi faham kepada masyarakat berkenaan sunnah-sunnah yang biasanya diamalkan oleh Nabi saw, tetapi sudah sering dilupakan.

Seperti orang yang mengantuk ketika khatib sedang khutbah jumaat disunnahkan untuk mengubah tempat duduknya. Ketika berdoa, khatib mengangkat jari

2.    Bukan sekadar hadis yang dilupakan sahaja, tetapi amalan yang kita biasa buat tapi kita tak tahu bahawa ia juga dlakukan oleh Rasulullah, apabila melakukannya akan dapat pahala mengikut Nabi.

Seperti mengetuk pintu rumah ketika mahu masuk, meminta izin sebelum masuk. Kita buat, tapi kita tidak tahu bahawa ia sunnah.

3.    Buku ini juga memberi penjelasan kepada kita bahawa ada sunnah yang kita belum pernah tahupun tetapi ia sangat baik dan bagus menurut agama dan kajian saintifik.

Contohnya, sunnah mencelupkan lalat apabila ia masuk ke dalam bekas minuman.

Keistimewaan

Buku ini disusun mengikut bab-bab Fikah yang mudah. Bermula dari isu bersuci, wudhuk, mandi wajib, solat, sehinggalah isu adab dan akhlak. Kemudian dtambah dengan bab-bab umu seperti perubatan gaya Nabi, cara makan dan minum, zikir-zikir, dan sebagainya.

Penutup

Secara peribadi, saya menyarankan para pembaca mendapatkan buku ini. Supaya kita dapat hidup dengan sunnah Nabi, sebagai tanda kita cintakan Nabi saw. 

Tuesday, June 3, 2014

Umdatul Ahkam - Terjemahan



4 Jun 2014 - Sebentar tadi saya telah mengulas buku “Umdatul Ahkam – Sandaran Hukum” yang disusun oleh Al-Hafiz Abdul Ghani Al-Maqdisi dalam rancangan Assalamualaikum,  TV al-Hijrah.

Buku ini mengumpulkan hadis-hadis yang disepakati oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dalam satu judul. Ia menggunakan kaedah Imam al-Bukhari dalam membuat turutan tajuk dan bab.

Seperti mana yang kita tahu, Imam Muslim tidak akan mengulang rantaian penyampai hadis yang telah dilakukan oleh Al-Bukhari, tetapi ia juga hanya merekodkan hadis-hadis sahih sahaja.

Apabila dua hadis yang sama isinya tetapi disampaikan oleh orang yang berbeza, bahkan orang yang menyampaikan itu pula disepakati oleh seluruh ulama hadis sebagai seorang yang boleh dipercai, maka. Maka kita akan dapati bahawa ia adalah hadis yang paling sahih.

Inilah yang menjadi keistimewaan buku Umdatul Ahkam.

Antara kehebatan lain, buku yang diterbitkan oleh Kemilau Publika ini memberi penjelasan ringkas berkaitan makna-makna bagi istilah hadis yang sukar difahami. Sehingga ia menggunakan bahasa terjemahan yang mudah difahami oleh semua peringkat pembaca.

Di dalam sinopsis belakang buku ini saya sebutkan,


 Umdatul Ahkam merupakan sebuah buku rujukan hukum agama yang paling sahih dengan menjadikan sandaran tertinggi dalam ilmu hadis sebagai panduan utama.

Buku ini disusun oleh al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi (541 H – 600 H). Ia menghimpunkan hadis-hadis sahih yang berkaitan hukum agama yang terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Terkandung di dalamnya 420 hadis di dalam 19 bab.

Al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi berkata dalam pendahuluan buku ini,

“Sebahagian daripada rakanku pernah meminta supaya aku meringkaskan hadis-hadis yang berkaitan hukum agama yang disepakati oleh Imam Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari dan Imam Muslim bin al-Hajjaj an-Naisaburi. Lalu aku menunaikan permintaan mereka dengan menyusun buku ini. Aku mengharapkan supaya ia dapat dimanfaatkan.”


Semoga ia bermanfaat.
_______________

Penerbit  : Kemilau Publika SDN BHD
ISBN : 9789673611256
Format : Kulit Nipis Berkilauan
Tarikh terbitan : 30-JUN-2014
Harga : RM 22 (Semenanjung) RM 25 (Sabah/Serawak)